BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Jumaat, Mei 07, 2010

Semakin hilang nilai kemanusiaan....

Tidak berkeperikemanusiaan langsung…hilang akal…Begitulah gambaran sikap yang melampau remaja yang terjerumus dalam aktiviti seks luar nikah sehingga ‘bunting’ anak luar nikah lalu membuang atau membunuh zuriat yang baru dilahirkan.


Sejak kebelakangan ini,kes-kes pembuangan bayi makin menjadi-jadi dan lebih memilukan jenayah ini dilakukan remaja melayu yang beragama Islam yang dikatakan memiliki akhlak dan adab yang tinggi. Sungguh pelik kerana masyarakat ini mempunyai tahap pemikiran baik,tinggal dalam suasana aman,damai dan penuh ciri ketimuran serta mempunyai asas agama. Akan tetapi mengapa jenayah ini masih lagi berlaku? Gejala pembuangan bayi secara langsung disebabkan perhubungan seks bebas memang tidak dapat nafikan apabila dikaji. Cara mudah bagi mengelakkan malu serta boleh mendatangkan aib kepada keluarga apabila mengandungkan anak luar nikah ialah membuang atau membunuh bayi tersebut.

Perbuatan ini lebih buruk berbanding haiwan kerana melakukan dosa dengan berzina tanpa rasa bersalah bahkan tergamak membunuh zuriat sendiri. Perbuatan membunuh anak ini mengatasi nilai hidup kebinatangan. Binatang atau haiwan mungkin membunuh anak mereka ketika dilahirkan, tetapi kebanyakannya atas faktor survival(dijadikan makanan).

Firman ALLAH SWT  yang bermaksud:

" Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk."(surah Al-Israa’ayat 32)

Memang benar manusia secara fitrah memerlukan seks. Justeru, Islam menggalakkan manusia berkahwin supaya hubungan yang sebelumnya haram menjadi halal.

Bayangkan wajah kudus zuriat yang dilahirkan,adakah si ibu sanggup membunuh makhluk itu sedangkan dia bersusah payah mengandung selama 9 bulan? Bagi setiap wanita yang merasai saat melahirkan anak,ia ibarat di persimpangan antara hidup dan mati. Kesakitan ketika bersalin diibaratkan yang kedua tersakit selepas kesakitan malaikat maut iaitu Izrail datang mencabut nyawa,sebagai manusia waras,tentu kita tidak dapat membayangkan bagaimana seorang wanita sanggup melahirkan bayi dan membuang atau membunuh bayi itu dalam masa yang sama.

Sudah terlalu kerap berita tentang penemuan bayi yang menjadi tajuk utama dalam dada-dada akhbar mahupun media massa. Tong sampah,kubur,semak,sungai,kaki lima,lubang tandas malah kawasan masjid yang menjadi tempat beribadat bagi orang Islam juga menjadi sebahagian kawasan pembuangan bayi. Bayi yang ditemui amat jarang sekali masih bernyawa kerana kebanyakannya sudah meninggal dunia akibat dihurung semut atau hilang anggota badannya kerana dimamah haiwan liar.

Ada juga yang meninggalkan bayi mereka dengan menulis nota seperti ‘tolong kebumikan mayat ini’. Hakikatnya,pembuangan dan pembunuhan bayi ketika ini adalah bertujuan kerana mereka mahu menutup aib serta bimbang diketahui keluarga khususnya,masyarakat amnya. Ke mana hilangnya sifat perikemanusiaan dalam diri masyarakat sekarang kerana bayi adalah kurniaan ALLAH yang tiada nilainya? Jika zaman Jahiliyah dahulu,masyarakat sanggup menanam bayi perempuan hidup-hidup,apa bezanya masyarakat hari ini? Perbuatan membuang dan membunuh bayi ini ibarat perlakuan jahiliyah moden yang tidak boleh dimaafkan.

Al-Quran dan Sunnah mengingatkan kita bahawa setiap ciptaan ALLAH di muka bumi ini amat berharga. Bukan saja manusia dan haiwan,malah tumbuhan pun dilarang dicabut hidup-hidup. Perbuatan segelintir mereka melakukan perkara terkutuk terbabit turut memberi impak negatif kepada umat Islam.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

" Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan rasul-Nya Telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. dan barangsiapa mendurhakai Allah dan rasul-Nya Maka sungguhlah dia Telah sesat, sesat yang nyata."(surah Al-Ahzab ayat 36)

Justeru, ibu bapa perlu memastikan pembentukan sahsiah anak-anak menepati ciri Islam sejati. Budaya hidup bebas terutamanya perlulah diberi perhatian serius kerana dikhuatiri ‘lesen’ berkenaan akan merencatkan pembinaan watak dalam diri anak mereka. Rasulullah SAW bersabda bermaksud:”Setiap suami pemimpin keluarganya,ia akan diminta untuk bertanggungjawab dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah bagi anak dan suaminya,dia juga diminta untuk bertanggungjawab.”(Riwayat Bukhari)

Manusia yang ditakrifkan sebagai jahil adalah mereka yang tiada hati dan akal fikiran. Mereka tidak berpijak di bumi yang nyata sehingga berani melakukan sesuatu di luar pertimbangan. Tiada guna jika mereka hanya malu kepada masyarakat, tetapi bukannya malu kepada ALLAH SWT. Remaja perlu segera insaf dan sedar bahawa hidup pada zaman remaja hanya seketika,mereka perlu sedar tugas mereka hidup di dunia ini adalah untuk mengumpul amalan baik mereka untuk menuju ke syurga hakiki,dunia adalah jalan menuju ke akhirat,maka mereka perlu memilih jalan kehidupan yang sempurna. Tanda manusia hari ini kembali semula ke zaman Jahiliyah bukan bermakna mereka tidak berilmu,tetapi kerana nilai kemanusiaan sudah hilang. Manusia hilang nilai kemanusiaan kerana hidup bertuhankan nafsu.”Imam al-ghazali menjelaskan kedudukan manusia boleh menjadi lebih mulia daripada malaikat jika akal boleh menundukkan nafsu,tetapi mereka akan menjadi lebih buruk daripada binatang jika hidup bertunjangkan nafsu.”

Selasa, Januari 19, 2010

Orang Beriman Muliakan Tetamu

SETIAP individu pasti pernah didatangi tetamu. Tetamu yang datang berkunjung ke rumah pastinya dengan hajat dan keperluan tertentu. Islam amat menitikberatkan hubungan antara sesama manusia.


Justeru, sejak daripada awal Islam menggariskan adab bagi memuliakan tetamu ke rumah.

Tetamu yang datang adalah amanah Allah yang harus ditunaikan haknya. Tuan rumah bertanggungjawab ke atas tetamu selama berada di rumahnya serta wajib menafkahkan sebahagian rezekinya buat tetamu itu.

Dengan menghormati tetamu dan menyempurnakan haknya, ia menjadikan seseorang Muslim itu memiliki iman yang sempurna apatah lagi tetamu itu saudara seagama.

Namun, tetamu bukan Islam turut mendapat layanan yang sama daripada tuan rumah beragama Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud; "Tidak sempurna iman seseorang itu, sehingga dia mengasihi saudaranya, sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri." (Hadis riwayat Muslim).

Menghormati dan memuliakan tetamu adalah sunnah rasul dan nabi. Malah, Nabi Ibrahim a.s adalah antara rasul yang amat memuliakan tetamunya. Baginda menerima tetamu dengan hati terbuka dan melayani mereka dengan baik.

Allah s.w.t merakamkan perihal Nabi Ibrahim a.s ini menerusi firman-Nya bermaksud: "Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu!'', Ibrahim menjawab: "Salam sejahtera kepada kamu!" (sambil berkata dalam hati): Mereka ini orang yang tidak dikenali. Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya dan dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkan kepada mereka sambil berkata: "Silakanlah makan." (Surah adz-Dzaariyaat, ayat 24-27).

Hakikatnya, amalan menghormati tetamu bukan saja menunjukkan ciri-ciri perilaku terpuji, malah berkait rapat dengan tahap keimanan seseorang Muslim.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghormati tetamunya. Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia menyambung silaturahim." (Hadis riwayat Bukhari).

Di antara adab memuliakan tetamu dianjurkan Islam ialah:
- Menyambut tetamu dengan perasaan gembira dan wajah yang manis
- Saling bertanya khabar berita serta bertukar-tukar cerita yang baik.
- Sedaya-upaya menyembunyikan sebarang masalah keluarga agar tidak diketahui tetamu.
- Menyajikan hidangan makanan kepada tetamu.
- Menyediakan tempat tidur yang baik serta kemudahan yang diperlukan jika mereka bermalam di rumah.
- Sediakan mengikut tahap kemampuan tuan rumah.
- Tidak terlalu berkira, tak pula terlalu berlebihan dan bukan dengan niat untuk bermegah-megah dengan rezeki serta kemewahan yang ada.

Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran bermaksud: "Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu." (Surah al-Furqaan, ayat 67).

Rasulullah s.a.w bersabda: "Bertamu (menziarah) itu tiga hari dan selebihnya siang mahupun malam. Tidak halal bagi seorang Muslim menetap di rumah saudaranya sehingga saudaranya itu berdosa kerananya. Sahabat bertanya: Bagaimana caranya dia berdosa? Jawab Baginda: Orang itu menetap di rumah saudaranya, padahal saudaranya itu tidak mempunyai apa-apa lagi yang akan dihidangkan (diberikan) kepada tetamunya itu." (Hadis riwayat Bukhari).

Keadaan ini adalah bagi mengelak perasaan terbeban tuan rumah. Amalan yang pada awalnya dikira sebagai amalan yang mulia, tetapi jika ia berlarutan sehingga menyusahkan tuan rumah, ia dikhuatiri akan menimbulkan suasana tidak selesa malah boleh menimbulkan perbalahan dan persengketaan pada kemudian hari.

Dalam konteks yang lebih besar lagi, rakyat sebuah negara yang diiktiraf sebagai antara negara Islam contoh, seharusnya kita rakyat Malaysia sentiasa mempamerkan akhlak dan budaya yang terpuji kepada khalayak yang berkunjung ke negara ini.

Tanpa mengira agama dan budaya, mereka seharusnya diberi bantuan sewajarnya sepanjang di negara ini. Sifat ringan mulut memberi bantuan apabila diajukan soalan oleh tetamu negara dan disertakan dengan senyuman adalah antara cara bagi menunjukkan tatasusila dan budaya rakyat Malaysia.

Sesungguhnya tetamu mengundang rahmat daripada Allah s.w.t ,menghilangkan dosa penghuni rumah dan menjanjikan pahala sedekah buat tuan rumah yang berusaha sebaik mungkin memuliakan tetamu menurut tuntutan Islam.