BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Khamis, November 19, 2009

SEMUA YANG DIMILIKI ADALAH PINJAMAN...

Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda,

"Manusia sentiasa mengaku apa sahaja yang ada adalah milik mereka. Hakikatnya,apa yang dimakan ataupun diminum akan habis serta apa yang dipakai akan rosak binasa. Namun,harta yang disimpan iaitu yang disedekahkan itulah yang akan jadi milik mereka."

Hadis di atas menyatakan tidak ada satupun harta benda yang kita miliki adalah milik kita yang mutlak. Semuanya adalah pinjaman daripada Allah S.W.T kepada hamba-hambaNya. Semuanya bersifat sementara sahaja. Apabila tiba masanya, ia akan ditarik balik oleh pemiliknya yang hak.

    Apabila dilihat daripada hadis ini, kita perlu sedar hakikat harta yang kita miliki adalah:

-Apa yang dimakan akan habis.
-Apa yang dipakai akan lusuh.
-Apa yang disedekahkan sahaja yang akan tersimpan untuk bekalan akhirat.

Tidak ada satupun harta yang akan menjadi milik kita yang akan kekal. Ini kerana apa sahaja yang kita makan,minum dan pakai akan rosak dan akhirnya akan dibuang begitu sahaja. Makanan dan minuman yang kita ambil pada setiap hari akhirnya akan dibuang sebagai najis. begitu juga dengan pakaian. Lama-kelamaan pakaian yang kita pakai walau secantik mana dan semahal manapun harganya akan dibuang begitu sahaja. Sebaliknya apa yang kita sedekahkan untuk dimanfaatkan oleh fakor miskin dan anak-anak yatim misalnya, inilah harta yang akan kekal bersama-sama kita di akhirat kelak.

    Hadis ini sebagai peringatan daripada Rasulullah S.A.W kepada umatnya supaya mereka tidak terlalu leka dengan apa yang dimiliki kerana semuanya bersifat sementara belaka. Tidak ada satupun yang bersifat kekal. Semuanya akan hancur musnah apabila tiba masanya. Yang kekal hanyalah ALLAH S.W.T sahaja.

    Rasulullah S.A.W memberikan peringatan sedemikian supaya umatnya tidak menjadi sombong dengan apa yang mereka miliki. Contah manusia yang sombong adalah Firaun yang mengaku dirinya sebagai tuhan. Firaun dengan begitu angkuh menyatakan bahawa semua yang ada di langit dan di bumi ini adalah miliknya yang mutlak. Malahan, Firaun juga mendakwa dirinya berkuasa menghidupkan serta mematikan sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Akhirnya, dia juga dibinasakan oleh Allah S.W.T disebabkan keangkuhannya itu.

    Demikian kesudahan manusia ciptaan Allah yang bersifat sombong. Dia tidak akan selamat bukan sahaja di dunia,tetapi juga di akhirat. Seharusnya kisah Firaun laknatullah ini dijadikan sebagai pengajaran oleh semua umat manusia. Siapakah kita untuk bersifat sombong sebegini? Sedangkan apa yang kita makan, apa yang kita minum, malahan udara yang kita sedut setiap hari semuanya atas belas kasihan Allah S.W.T kepada kita. Tidak ada satupun milik kita yang mutlak. Semuanya dianugerahkan kepada kita dengan izin-Nya.

    Firman Allah S.W.T bermaksud;
"Dan setiap yang bernyawa tidak akan mati kecuali dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Barang siapa yang kehendaki pahala dunia,nescaya kami akan berikan kepadanya pahala dunia itu,dan barang siapa yang menghendaki pahala akhirat,kami berikan pula kepadanya pahala akhirat itu,dan kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur," Surah Ali-Imran (3:145)

Ayat Allah ini memberitahu kita bahawa sebagai hamba-Nya, kita wajib bersyukur di atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita. Allah akan mengurniakan apa sahaja nikmat-Nya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki sekalipun hamba-Nya itu bukan seorang yang patuh dan taat kepada-Nya. Bagi mereka yang beriman, mereka akan memanfaatkan kurniaan Allah itu sebaik-baiknya. Berbeza pula dengan orang yang  tidak beriman kepada Allah, mereka akan memanfaatkan kurniaan Allah itu untuk mencari lebih banyak kekayaan dan kesenangan dunia semata-mata sedangkan akhirnya mereka akan kembali juga kepada Allah S.W.T.

    Berbalik pula pada kisah Firaun yang sombong lagi angkuh tadi, seperti makhluk Allah yang lain juga,dia diberikan berbagai-bagai nikmat oleh Allah S.W.T sehingga menyebabkan dia menjadi sombong. Meskipun firaun mendakwa dirinya sebagai tuhan, dan dia berkuasa ke atas semua manusia yang berada di bawah kekuasaannya,namun akhirnya dia kembali juga kepada Allah dalam keadaan Allah tidak redha kepadanya. Demikian kekuasaan Allah ke atas semua makhluk-Nya. Maha Suci Allah, Tuhan Pemilik Sekelian Alam.Rujukan daripada buku Tundukkan Hati oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat & Annual Bakri Haron...

Wallahhua'lam.Renungkanlah......

0 ulasan: